laman utama

berita

biodata

album

tugas

PANDUAN BERHENTI MEROKOK

MEMBUAT PERSEDIAAN BERHENTI MEROKOK
Anda mungkin merasa bahawa berhenti merokok ini mempunyai kebaikan dan keburukan pada diri anda. Perasaan ini memang sesuatu yang lumrah setiap kali kita membuat sesuatu keputusan yang paling penting dalam kehidupan kita. Setelah mengenalpasti sebab-sebab anda berhenti merokok, fikirkan juga perkara-perkara yang mungkin menghalang anda daripada berhenti merokok. Contohnya , ada perokok yang bimbang akan mengalami naik berat badan atau gejala " withdrawal " atau gian. senaraikan pula faktor-faktor yang anda rasakan mungkin menghalang niat anda untuk berhenti merokok.

Sekiranya anda merasa sangsi untuk meneruskan niat anda untuk berhenti merokok, yakinkan diri anda bahawa kesangsian itu boleh diatasi. Sentiasa ingatkan diri anda akan mendapat kebaikan dan faedah yang akan anda kecapi dengan berhenti merokok dan bersedialah untuk berhenti merokok.

Sekiranya anda telah benar-benar bersedia untuk berhenti merokok, kemungkinan anda berjaya adalah lebih cerah. Bagi membantu anda bersedia untuk berhenti merokok, anda bolehlah mengambil langkah-langkah yang dinyatakan di bawah bagi menjayakan hasrat anda untuk berhenti merokok;

Memahami bila dan kenapa anda merokok.
Ubah kebiasaan merokok.
Tetapkan tarikh untuk berhenti merokok.
Dapatkan sokongan.
Rancang kehidupan harian tanpa merokok.
1. MEMAHAMI BILA DAN KENAPA ANDA MEROKOK.
Apabila anda mengetahui kenapa anda merokok, anda boleh merancang cara mana melalui kehidupan biasa tanpa merokok. Sebab kenapa anda merokok biasanya bergantung rapat dengan masa atau tempat, dengan siapa kita bersama atau perasaan yang dirasai. Dengan mengetahui kenapa dan bila anda akan berhenti merokok, memudahkan anda bersedia menghadapi masa-masa tersebut ketika mana desakan atau keinginan intuk merokok itu timbul.

Simpanlah sesuatu catatan harian atau diari mengenai amalan merokok anda untuk beberapa hari. Bagi setiap kali anda merokok. tuliskan masa anda merokok, keadaan ketika mana anda berada dan sebab anda merokok. Buatkan suatu tanda ketika mana keinginan untuk merokok paling memuncak.

2. UBAH KEBIASAAN MEROKOK
Adalah lebih mudah bagi anda berhenti merokok sekiranya anda dapat mengatasi kebiasaan merokok yang diamalkan sebelum ini. Mulakan dengan:
Ubah cara dan gaya anda merokok, hindarkan merokok pada masa yang biasanya anda merokok, pegang rokok berbeza dengan cara yang biasa, tukar jenama lain, ikatkan kotak rokok dengan getah gelang agar membukanya untuk tujuan merokok akan mendatangkan sedikit kesukaran.
Ubah situasi atau keadaan ketika mana biasanya merokok, pilihlah tempat yang tidak sesuai atau selesa untuk merokok dan bukan di tempat yang anda merasa seronok merokok.
Mula kurangkan kekerapan merokok.
3. TETAPKAN TARIKH BERHENTI MEROKOK
Adalah mustahak anda menentukan sendiri tarikh berhenti merokok. Elakkan hari-hari bilamana anda akan mengalami tekanan, sebaliknya pilihlah tarikh penting dan bermakna bagi diri anda seperti hari lahir, hari ulangtahun perkahwinan dan sebagainya. Pastikan anda betul-betul bersedia untuk berhenti merokok. Pada hari anda akan berhenti merakok itu rancanglah sesuatu untuk mengubah perkara-perkara rutin yang biasa anda lakukan supaya keinginan untuk merokok tidak timbul. Berilah masa secukupnya bagi menyiapkan diri anda untuk membuat persediaan berhenti merokok, tetapi jangan sekali-kali membatalkan niat anda untuk berhenti merokok.
4. DAPATKAN SOKONGAN
Maklumkan kepada keluarga, teman rapat dan rakan sekerja bahawa anda telah berhenti merokok dan dapatkanlah sokongan mereka. Bahkan adalah lebih baik sekiranya anda mengajak rakan anda yang merokok supaya bersama-sama untuk berhenti merokok agar masing-masing dapat saling menyokong. Ada baiknya jika anda dapat menentukan calun rakanyang boleh menyertai anda berhenti merokok.
5. RANCANG KEHIDUPAN HARIAN TANPA MEROKOK
Semasa melalui kehidupan harian tanpa merokok anda perlu merancang caramana mengatasi keadaan atau situasi bilamana anda biasanya merokok, contohnya setiap kali selepas minum kopi atau selepas makan dan sebagainya. Cuba alih perhatian anda kepada sesuatu yang bukan kebiasaan yang anda lakukan. Perancangan yang teliti membolehkan anda melalui kehidupan harian dengan yakin dan tenang. Lalui setiap jam dengan penuh kesabaran dan kesungguhan.
 
ke halaman lepas

ke halaman berikut