LAMAN UTAMA

MESEJ

TUGAS

BIODATA

INFO UBAT

GAMBAR

 KLINIK KESIHATAN KANGAR   

(25.06.2001)

Klinik Kesihatan Kangar telah mula beroperasi pada 12.4.01. yang baru lalu. Klinik tersebut memberi perkhidmatan pesakit luar yang mana sebelum ini ianya ditempatkan di Hospital Kangar. Unit-unit yang terdapat di Klinik ini adalah Jabatan Pesakit Luar, Farmasi, Pergigian , Klinik Ibu dan Anak, Makmal serta Unit X-Ray.

Seramai 5 orang Pembantu Farmasi bertugas di Unit Farmasi. Mereka ialah En.Teh Poh Huat, En.Johare Harun, Puan Rohaya Md.Isa, Puan Che Su Mohd.Yusoff dan Puan Fazilah Shaari. Semua mereka ini adalah Pembantu Farmasi gred U8.

Mereka dibantu oleh seorang Atenden Lelaki. Buat masa ini tiada Pegawai Farmasi yang ditempatkan di unit tersebut. Pada permulaannya memang terdapat sedikit masalah berikutan terdapat kekurangan peralatan dan sebagainya. Namun ianya tidak banyak menjejaskan perkhidmatan kepada orang ramai.

Kepada Pembantu Farmasi yang bertugas di Klinik Kesihatan Kangar diucapkan selamat bertugas di tempat baru dengan penuh dedikasi.

 

PEMBUKAAN RASMI BANGUNAN KLINIK KESIHATAN KANGAR NEGERI PERLIS.
31/08/01
Pembukaan rasmi Klinik Kesihatan Kangar telah disempurnakan oleh ke bawah DYMM Tuanku Syed Sirajuddin Ibni Almarhum Tuanku Syed Putra Jamalullail pada 23/07/01 yang lalu. Sempena perasmian tersebut Klinik Kesihatan tersebut juga mengadakan hari terbuka.

Maklumat ringkas KlinikKesihatan Kangar.

Pembinaan Klinik Kesihatan Kangar telah dimulakan pada 1/6/1998. Bangunan klinik yang kosnya berjumlah RM 9,960,000.00 telah siap dibina pada 26/12/2000. Bangunan Klinik Kesihatan Kangar ini telah diserahkan kepada Jabatan Kesihatan Negeri Perlis pada 2/2/01. 

Blok bangunan tiga tingkat Klinik Kesihatan Kangar ini mengandungi jabatan/unit utama seperti Bahagian Pendaftaran/Rekod, Unit Farmasi , Unit Rehabilitasi, Jabatan Pesakit Luar, Klinik Ibu dan Kanak-kanak, Klinik Pergigian, Jabatan Pengimejan, Makmal Klinikal, Bahagian Pentadbiran/Pusat Sumber serta Bahagian Selenggaraan dan setor.

Selain daripada ruang-ruang perkhidmatan, rekabentuk bangunan ini juga mengambilkira kemudahan-kemudahan untuk kakitangan dan orang ramai termasuk kemudahan bagi golongan kurang upaya. Disediakan juga bilik-bilik seperti bilik rehat kakitangan, tandas, tandas golongan kurang upaya, ruang salin lampin, bilik solat, bilik mainan dan bilik penyusuan bayi.

Untuk kemudahan pegerakan pesakit, bangunan ini dilengkapi dengan 2 lif penumpang dan tangga kecemasan yang menghubungkan setiap tingkat bangunan.

Bagi memudahkan kerja-kerja selenggaraan pula, bilik seeprti bilik cucian, bilik buangan dan bilik M&E disediakan pada setiap tingkat. Malah pada aras bumbung bangunan telah disediakan bilik tangki air dan bilik sistem air Reverse Osmosis.

Bekalan elektrik ke bangunan ini dilengkapi dengan bekalan elektrik sokongan jika berlaku gangguan bekalan dari pihak TNB, menerusi 1 unit genset berkuasa 150 KVA yang beroperasi secara automatik apabila bekalan elektrik utama terputus.

Klinik Kesihatan Kangar ini juga dilengkapi dengan peralatan terkini bernilai RM 3 juta.

 

 

 

 

PEMBINAAN BANGUNAN BARU DI HOSPITAL KANGAR.      
 (25.06.2001)

Menteri Besar, Datuk Seri Shahidan Kassim memberi jaminan kerajaan negeri akan mempastikan kontraktor yang terbabit dengan projek pembinaan bangunan baru di Hospital Kangar dapat menyempurnakan kerja pembinaan  dengan cepat.

Beliau mengakui bahawa projek pembinaan bernilai berjuta-juta ringgit itu perlu dipercepatkan setelah mendapati kerja-kerja yang dijalankan sebelum ini  " agak perlahan " . Langkah mempercepatkan pembinaannya penting memandangkan Hospital Kangar antara hospital di negara ini yang diiktiraf mempunyai perkhidmatan dan tahap kebersihan terbaik.

Bagaimanapun keadaan sedemekian terjejas ekoran kerja-kerja pembinaan bangunan baru di hospital berkenaan. Beliau yakin kontraktor terbabit peka terhadap kelemahan itu dan dapat mempercepatkan kerja-kerja pembinaan untuk disiapkan segera.

Pihak Hospital Kangar telah menempah pelbagai peralatan yang dianggarkan bernilai kira-kira RM15 juta untuk ditempatkan  di bangunan baru tersebut. Apabila segala kerja di bangunan baru itu selesai kelak, Hospital Kangar dapat menyediakan perkhidmatan yang lebih selesa kepada orang ramai bukan sahaja para penduduk Perlis tetapi juga mereka yang datang dari Pulau Langkawi dan utara Kedah.

25.06.2001

Sumber : Suara Perlis Edisi Nov-Dis 2000

 

 

PFHK/PS 2001