laman utama

berita

biodata

album

tugas

PEMONITORAN TERAPEUTIK UBAT-UBATAN ( TDM )

“Therapeutic Drug Monitoring” - TDM

Paezaiton bt. Awang @ Saibun, R.Ph

Pegawai Farmasi, Hospital Kangar

 

             Penggunaan ujian biokimia sebagai sumber bantuan dalam penilaian klinikal pesakit semakin mendapat perhatian sejak dua dekad yang lalu.

 

             Sejajar dengan perkembangan teknik analitis yang automatik dan terkini, maka perkhidmatan farmakokinetik klinikal diwujudkan untuk memantau tahap penjagaan pesakit secara optima. Pemonitoran Terapeutik Ubat-Ubatan (TDM) adalah perkhidmatan farmakokinetik klinikal yang melibatkan pengukuran paras kandungan ubat-ubatan di dalam darah pesakit. Ia juga melibatkan penentuan parameter-parameter farmakokinetik tertentu ubat-ubatan agar pengubahsuaian dos (sukatan) ubat-ubatan yang diberikan kepada pesakit dapat dilakukan. Demikian adalah bertujuan untuk mendapatkan faedah klinikal yang maksima dan pada masa yang sama untuk mencegah kesan toksik (kesan bahaya) ubat-ubatan.

 

             Perkhidmatan TDM telah dilaksanakan di Hospital Kangar sejak tahun 1995 dengan kerjasama Unit Biokimia Hospital Kangar dan Farmasi Hospital Alor Setar. Namun begitu pada penghujung tahun 1998, perkhidmatan ini dijalankan sepenuhnya di Farmasi Hospital Kangar. Sejak beroperasi selama lebih 3 tahun  didapati kemajuannya amat memberangsangkan di mana bilangan kes yang dikendalikan   meningkat tahun demi tahun.

 

             Apabila seseorang pesakit mengambil ubat, beberapa proses akan berlaku kepada ubat tersebut di dalam badan pesakit; iaitu pengecaian ubat, penyerapan ubat ke dalam peredaran darah, pengedaran ubat ke dalam tisu-tisu badan, metabolisme ubat ke bentuk aktif atau tidak aktif; serta seterusnya ubat tersebut mengalami proses perkumuhan melalui hati, ginjal atau paru-paru.

 

             Sehubungan itu maka penggunaan paras ubat dalam darah pesakit diperlukan sebagai salah satu cara untuk menentukan dos (sukatan) ubat pesakit. Ini kerana terapi ubat yang optima adalah selari dengan perhubungan kepekatan ubat yang diukur dengan kesan terapeutik ubat tersebut. Objektif pengukuran paras ubat dalam darah adalah untuk menilai tahap komplians (kepatuhan) pesakit kepada rawatan, menilai kesan terapeutik atau kesan toksik (bahaya) ubat kepada pesakit, menentukan regimen dos (sukatan) ubat kepada pesakit yang mengalami gangguan ginjal atau hati dan  pesakit yang menjalani hemodialisis. Selain itu ia juga dapat mengenalpasti kebioperolehan ubat yang pelbagai jenama dan bentuk dosejnya.

 

             Secara umumnya perkhidmatan TDM melibatkan 4 peringkat iaitu tujuan penentuan kepekatan ubat, ketepatan persampelan dan prosedur pengukuran paras ubat, interpretasi keputusan dan pengurusan terapeutik.

 

           Perkhidmatan TDM ini akan hanya memantau paras ubat-ubatan tertentu sahaja iaitu ubat-ubatan yang mempunyai pelbagai ciri farmakokinetik dan mempunyai indeks terapeutik yang sempit umpamanya ubat-ubatan dari kelas “Cardiac Glycosides” (contohnya Digoxin), ubat-ubatan merawat asma (contohnya Theophylline atau Aminophylline), ubat-ubatan Anti-epileptik (contohnya Carbamazepine, Phenytoin, Phenobarbitone, Sodium Valproate) dan antibiotik (Gentamicin, Amikacin). Selain itu pengukuran paras keracunan Paracetamol juga dilakukan bagi kes-kes pengambilannya dalam kuantiti yang terlalu banyak.

 

            Bagi menjamin keberkesanan kos rawatan, pemilihan pesakit untuk  keperluan TDM ialah pesakit yang mengalami kegagalan ginjal, hati, jantung atau keabnormalan hematologi yang dikenalpasti oleh doktor.

 

            Dalam usaha mempertingkatkan perkhidmatan kepada pesakit, tidak seharusnya mengenepikan kemungkinan kegagalan pengubatan menggugat rawatan pesakit. Oleh itu TDM adalah salah satu daripada pelbagai cara untuk mempastikan keberkesanan rawatan. Jadi kelangsungan dan kemajuan perkhidmatan ini adalah wajar untuk mencapai tahap kualiti perawatan yang membanggakan semua pihak.