“Therapeutic
Drug Monitoring” - TDM
Paezaiton
bt. Awang @ Saibun, R.Ph
Pegawai
Farmasi, Hospital Kangar
Penggunaan ujian biokimia sebagai sumber bantuan dalam
penilaian klinikal pesakit semakin mendapat perhatian sejak
dua dekad yang lalu.
Sejajar dengan perkembangan teknik analitis yang automatik dan
terkini, maka perkhidmatan farmakokinetik klinikal diwujudkan
untuk memantau tahap penjagaan pesakit secara optima. Pemonitoran
Terapeutik Ubat-Ubatan (TDM) adalah perkhidmatan
farmakokinetik klinikal yang melibatkan pengukuran paras
kandungan ubat-ubatan di dalam darah pesakit. Ia juga
melibatkan penentuan parameter-parameter farmakokinetik
tertentu ubat-ubatan agar pengubahsuaian dos (sukatan)
ubat-ubatan yang diberikan kepada pesakit dapat dilakukan.
Demikian adalah bertujuan untuk mendapatkan faedah klinikal
yang maksima dan pada masa yang sama untuk mencegah kesan
toksik (kesan bahaya) ubat-ubatan.
Perkhidmatan TDM telah dilaksanakan di Hospital Kangar sejak
tahun 1995 dengan kerjasama Unit Biokimia Hospital Kangar dan
Farmasi Hospital Alor Setar. Namun begitu pada penghujung
tahun 1998, perkhidmatan ini dijalankan sepenuhnya di Farmasi
Hospital Kangar. Sejak beroperasi selama lebih 3 tahun
didapati kemajuannya amat memberangsangkan di mana
bilangan kes yang dikendalikan
meningkat tahun demi tahun.
Apabila seseorang pesakit mengambil ubat, beberapa proses akan
berlaku kepada ubat tersebut di dalam badan pesakit; iaitu
pengecaian ubat, penyerapan ubat ke dalam peredaran darah,
pengedaran ubat ke dalam tisu-tisu badan, metabolisme ubat ke
bentuk aktif atau tidak aktif; serta seterusnya ubat tersebut
mengalami proses perkumuhan melalui hati, ginjal atau
paru-paru.
Sehubungan itu maka penggunaan paras ubat dalam darah pesakit
diperlukan sebagai salah satu cara untuk menentukan dos (sukatan)
ubat pesakit. Ini kerana terapi ubat yang optima adalah selari
dengan perhubungan kepekatan ubat yang diukur dengan kesan
terapeutik ubat tersebut. Objektif pengukuran paras ubat dalam
darah adalah untuk menilai tahap komplians (kepatuhan) pesakit
kepada rawatan, menilai kesan terapeutik atau kesan toksik (bahaya)
ubat kepada pesakit, menentukan regimen dos (sukatan) ubat
kepada pesakit yang mengalami gangguan ginjal atau hati dan pesakit yang menjalani hemodialisis. Selain itu ia juga dapat
mengenalpasti kebioperolehan ubat yang pelbagai jenama dan
bentuk dosejnya.
Secara umumnya perkhidmatan TDM melibatkan 4 peringkat iaitu
tujuan penentuan kepekatan ubat, ketepatan persampelan dan
prosedur pengukuran paras ubat, interpretasi keputusan dan
pengurusan terapeutik.
Perkhidmatan TDM ini akan hanya memantau paras ubat-ubatan
tertentu sahaja iaitu ubat-ubatan yang mempunyai pelbagai ciri
farmakokinetik dan mempunyai indeks terapeutik yang sempit
umpamanya ubat-ubatan dari kelas “Cardiac Glycosides” (contohnya
Digoxin), ubat-ubatan merawat asma (contohnya Theophylline
atau Aminophylline), ubat-ubatan Anti-epileptik (contohnya
Carbamazepine, Phenytoin, Phenobarbitone, Sodium Valproate)
dan antibiotik (Gentamicin, Amikacin). Selain itu pengukuran
paras keracunan Paracetamol juga dilakukan bagi kes-kes
pengambilannya dalam kuantiti yang terlalu banyak.
Bagi menjamin keberkesanan kos rawatan, pemilihan pesakit
untuk keperluan TDM ialah pesakit yang mengalami kegagalan ginjal,
hati, jantung atau keabnormalan hematologi yang dikenalpasti
oleh doktor.
Dalam usaha mempertingkatkan perkhidmatan kepada
pesakit, tidak seharusnya mengenepikan kemungkinan kegagalan
pengubatan menggugat rawatan pesakit. Oleh itu TDM adalah
salah satu daripada pelbagai cara untuk mempastikan
keberkesanan rawatan. Jadi kelangsungan dan kemajuan
perkhidmatan ini adalah wajar untuk mencapai tahap kualiti
perawatan yang membanggakan semua pihak.
|