LAMAN UTAMA

MESEJ

TUGAS

BERITA

BIODATA

GAMBAR


 

Dari Minda Bendahari
Dari Meja Ketua Pengarang
Dialog
Laporan Persidangan

Ke Laman Utama Suara Rx

Laporan Ucapan Perasmian
Terapi Penggantian Hormon (HRT)
Perubatan Nuklear

 

VIAGRA
    
IMPLIKASI SOSIOBUDAYA, EKONOMI             DAN PERUBATAN

Oleh : Prof. Dzulkifli Abd.Razak

 
Pengenalan
Kenali Ubat Anda
Memahami baik buruk Viagra
Bagaimana Viagra Bertindak
Akibat Salah Guna
Kesan kesan Buruk
Kesimpulan

 

PENGENALAN

VIAGRA , satu nama ubat baru telah menjadi sebutan di merata tempat seluruh dunia. Akhbat-akhbar asing dan tempatan saban hari mencatat perbagai peritiwa tentang ubat ini , setengahnya agak mencuit hati, tetapi lebih banyak yang membimbangkan. Setakat ini hampir 270 laporan berita telah disebarkan melalui 5 buah akhbar utama di negara ini. Oleh itu pengaruhnya kepada semua lapisan masyarakat adalah begitu luas.

Dalam pada itu, masih ramai yang tertanya-tanya tentang ubat tersebut. Contohnya ada laporan yang menyebut bahawa ramai wanita yang menggunakan VIAGRA, dan ada pula kaum lelaki yang tidak memerlukannya kerana maklumat penting berkait dengan kegunaan ubat itu tidak tersebar luas malah sukar untuk diperolehi. Oleh yang demekian, pelbagai penakrifan kini timbul sekaligus membuktikan bahawa VIAGRA telah disalahgunakan.

Malah mengikut tajuk-tajuk berita yang telah diterbitkan sehingga hari ini, lebih banyak membayangkan kekeliruan penggunaan ubat tersebut. Rata-ratanya menampakkan lebih ramai masih belum maklum sepenuhnya tentang baik buruk VIAGRA yang merupakan suatu simbolik dan kemungkinan penyalah gunaan boleh berlaku samaada di Malaysia sendiri, khususnya di kalangan remaja.

Daripada segi sains ubat-ubatan , sebarang salah guna akan lambat -laun mendatangkan bermacam-macam kemudaratan. Hakikat ini pada umumnya disedari ramai, misalnya masakan seseorang yang sihat perlu memakan ubat penyakit jantung ataupun ubat kencing manis secara bersahaja sedangkan ia tidak langsung mengalami penyakit tersebut. Malangnya logik ini tidak diterima pakai apabila berhadapan dengan ubat-ubatan seperti VIAGRA. Maka tidak hairanlah pelbagai fe'el kini timbul berkaitan penggunaan ubat tersebut. Pada suatu peringkat paling membimbangkan ialah maut berkaitan penggunaan VIAGRA.

Sehingga hari ini tidak kurang daripada 130 kes kematian telah dilaporkan di Amerika Syarikat tidak termasuk di negara lain. Bilangan ini mungkin meningkat lagi. Walaupun kes-kes ini masih belum jelas sama ada disebabkan VIAGRA secara langsung, tetapi sudah cukuplah rasanya bagi kita semua berwaspada apabila berhadapan dengan keadaan yang sama.

KENALI UBAT ANDA

Oleh itu ada baiknya jika kita betul-betul faham terlebih dahulu tentang sesuatu ubat. Cara ini dapat melindungi diri daripada bahaya akibat salah guna ubat seperti VIAGRA. Selagi jenama sesuatu ubat itu masih belum lagi didaftarkan di Malaysia, seeloknya ia dihindarkan buat sementara waktu. Ia juga bermakna pihak berkuasa sedang menghalusi beberapa aspek penggunaan ubat tersebut demi kepentingan orang ramai. Ianya juga bertujuan menghalang ubat yang tidak selamat (termasuk tiruan) daripada dipasarkan di negara kita ini dan mengancam kesihatan ramai. Oleh itu proses pendaftaran adalah penting dari segi undang-undang dalam menentukan keselamatan orang ramai. Sebelum itu ada baiknya dielakkan penggunaan apa-apa saja ubat yang belum didaftarkan. Semua ini menunjukkan bahawa penggunaan ubat-ubatan adalah satu perkara yang serius. Ia perlu diamalkan dan dipatuhi dengantepat dan tidak diambil mudah. Sudah menjadi kelaziman yang uabt-ubat baru akan menunjukkan kesan buruk yang lebih banyak sebaik saja dipasarkan dengan meluas dan terdedah kepada ratusan juta pengguna di seluruh dunia. Ketika itu barulah ditentukan dengan jelas nilai sebenar sesuatu ubat itu. Malah tidak kurang juga ubat yang terpaksa ditarik balik penjualannya selepas beberapa lama dipasarkan akibat kesan buruk yang dahulunya tidak dapat dikesan. Lebih membimbangkan terdapat laporan yang menyatakan kini sudah terdapat pil-pil VIAGRA diseludup atau pil tiruan dijual khususnya di kawasan bersempadan dengan negara jiran.

Implikasi kos daripada penggunaan VIAGRA juga adalah satu aspek penting ditekankan. Mengikut hitung kasar rakyat akan membelanjakan hampir RM 1 billion setahun jika hanya dihadkan kepada mereka yang benar-benar memerlukannya. Jika tidak bayangkan saja pembaziran yang akan berlaku kelak, di samping kesan-kesan sampingan yang bakal timbul (lihat jadual 1). Ini masih kurang diperkatakan untuk menyedarkan orang ramai.

Oleh sebab itu para pengguna perlu berwaspada walaupun ubat ini telah didaftarkan. Dikap ini sepatutnya bukan tertumpu kepada ubat VIAGRA sahaja, tetapi kepada apa-apa jenis ubat sekalipun. Khabarnya lebih banyak firma yang memasarkan ubat-ubat 'Pemulihan Tenaga Batin' dalam masa terdekat ini. Hanya kesedaran dan sikap berwaspada saja yang akan menentukan segala-galanya.

MEMAHAMI BAIK BURUK VIAGRA

Mengikut sumber perubatan, bilangan rakyat Malaysia yang mengalami keadaan 'lemah tenaga batin' ataupun 'erecticle dysfunction' (ED) adalah dalam anggaran 1 juta orang. ED dikenali sebagai satu keadaan apabila seseorang itu tidak dapat melakukan hubungan kelamin kerana anggota kelaminnya tidak berupaya untuk ditegangkan. Keadaan yang melibatkan kaum lelaki ini akibat berbagai punca termasuk masalah perubatan, fizikal mahupun psikologikal ataupun kedua-duanya sekali. Penyakit kencing manis, darah tinggi, kanser bahagian kolon dan kegemukan adalah antara sebab-sebab lain yang boleh mengakibatkan ED.

Bahan racun seperti rokok , alkohol dan dadah boleh juga menyebabkan ED. Malah lebih daripada 200 jenis ubat seperti ubat-ubat darah tinggi dikesan boleh menyebabkan ED. Sebelum adanya ubat seperti VIAGRA, rawatan ED menggunakan pendekatan yang memerlukan peralatan tertentu untuk membolehkan berlakunya ketegangan anngota kelamin. Namun begitu pendekatan ini tidak begitu digemari kerana ketidakselesaan yang timbul ataupun menyebabkan sipengguna merasa malu untuk menggunakannya. Malah ubat-ubatan yang ada pun seperti terapi penggantian hormon ataupun suntikan ubat alprostadil tidak begitu menyakinkan mereka. Oleh yang demekian dengan adanya VIAGRA yang begitu mudah untuk mengatasi masalah ED, dunia perubatan telah mencipta satu kejayaan yang selama ini sememangnya dinantikan.

BAGAIMANA VIAGRA BERTINDAK

VIAGRA dengan nama saintifik Sildenafil Sitrat merupakan bahan kimia pertama yang dikatakan dapat bertindak terus kepada alat kelamin lelaki untuk merawat ED. Keadaan ini berlaku akibat tindakan kimia yang mempermudah darah mengalir ke dalam saluran darah alat kelamin. Pada masa yang sama bekalan darah yang keluar daripada anggota kelamin menjadi berkurangan. Hasilnya otot-otot pada anggota kelamin menjadi lebih tegang. Sungguhpun begitu VIAGRA mengambil masa lebih kurang 1 jam untuk memberi kesannya sedangkan dalam keadaan normal proses ini berlaku secara spontan.

Maka tidak hairanlah yang VIAGRA menjadi begitu popular bukan sahaja kepada pesakit ED. Namun demekian VIAGRA bukanlah ubat perangsang tenaga batin ataupun aprodisiak. Maksudnya bagi mereka yang tidak mengalami ED, VIAGRA tidak akan mendatangkan kebaikan tambahan. Sebaliknya ia akan mendatangkan kesan-kesan lain kerana ini boleh dianggap salah guna.

AKIBAT SALAH GUNA

Perkara salah guna inilah yang sebenarnya membimbangkan terutama dalam masyarakat yang lebih terbuka dan permisif. VIAGRA mungkin dianggap sebagai bahan 'rekreasi' oleh sesetengah pihak, iaitu digunakan untuk berseronok-seronok oleh mereka yang tidak mengalami ED. Bagi pesakit ED pula VIAGRA telah membuka satu lembaran baru dalam kehidupan mereka sehingga banyak pula kerenah lain yang timbul. Laporan seperti suami menceraikan isteri, pelacur membunuh pelanggan ataupun syarikat-syarikat insuran disaman oleh pengguna VIAGRA sudah mula dapat dibaca melalui akhbar-akhbar. Pendek kata pelbagai gejala sosio budaya sudah mula terbit dengan adanya ubat VIAGRA ini. Bahkan laporan terbaru di Filipina memaparkan peristiwa sebuah kedai Farmasi diceroboh dan sebilangan pil VIAGRA bernilai RM 4 juta telah dicuri. Tidak kurang juga kegiatan penyeludupan telah timbul. Begitu juga dengan wujudnya pil VIAGRA palsu. Kesemua ini membayangkan betapa popularnya VIAGRA dan sebahagiannya kerana salah anggapan yang ianya ubat yang serba selamat dan menyeronokkan dan boleh digunakan oleh sesiapa sahaja.

Dari segi ekonomi pula, penggunaan VIAGRA akan mendatangkan implikasi yang besar. Pertama kerana ia begitu mahal - anggaran US10 sebiji ataupu sekurang-kurangnya RM38.00 sebiji. Bermakna jika setiap orang daripada sejuta pengidap ED di Malaysia memakan pil ini sekali sahaja dalam setahun, implikasi kosnya adalah lebih kurang RM38 juta setahun. Perkara kedua yang berkaitan adalah ianya tidak seperti ubat lain, VIAGRA akan digunakan oleh seseorang itu setiap kali hendak melakukan hubungan kelamin. Oleh itu salah guna akan membawa implikasi kos yang melambung apa lagi kerana kekerapan penggunaannya yang tidak terbatas atau terhad. Perbelanjaan yang akan terlibat sydah tentu berjuta-juta, mungkin berbillion ringgit mengikut satu anggaran dan akan mempunyai implikasi lebih besar dalam desawarsa kegawatan ekonomi yang malanda.

Perkara ketiga ialah penggunaan VIAGRA oleh orang yang tidak mengidap ED samada lelaki mahupun perempuan. Walaupun ia dikatakan tidak disyorkan untuk wanita , namun kenyataannya ialah VIAGRA akan tetap mendapat pasaran daripada hampir semua pihak. Implikasinya bukan saja kos akan lebih meningkat, malah jangkaan aktiviti berkaitan seks akan turut meningkat - kes rogol, pelacuran dan tajaan 'pelancongan seks'. Kesudahannya penyakit kelamin akan turut meningkat, termasuk AIDS. Perkara inilah yang membimbangkan memandangkan gejala sosial yang kemungkinan besar akan timbul akibat penyalahgunaan ubat VIAGRA ini.

Satu lagi perkara ialah yang melibatkan kesejahteraan keluarga. Perkara aneh ini timbul kerana ramai yang mengidap ED ialah mereka yang telah lanjut umur. Tetapi VIAGRA telah berupaya megubah semua ini. Bagi pasangan yang tidak bersedia untuk menerima perubahan ini, ia boleh memporak perandakan rumah tangga pasangan terbabit. Dalam kebanyakkan hal isteri yang selama ini akan menjadi mangsa.

Kesimpulannya penggunaan VIAGRA memerlukan pertimbangan yang begitu banyak dari pelbagai aspek lain.

KESAN-KESAN BURUK

Kebimbangan yang disarankan di atas dianggap sebagai kesan buruk tidak langsung yang lebih berbentuk sosio budaya dan ekonomi. Tidak kurang pentingnya kesan buruk ubat itu sendiri. Semua ubat mempunyai kesan buruk dan kesan sampingan yang tersendiri. VIAGRA juga tidak terkecuali dalam hal ini. Tidak kira berapa selamat ubat tersebut mengikut ukuran sains, ia tetap mempunyai risiko - apa lagi ubat baru seperti VIAGRA.

Antara kesan buruk ini ada yang agak ringan (Jadual 1), tetapi ini semua agak relatif kepada seseorang individu itu. Perlu diulangi bahawa kini terdapat laporan awal sekurang-kurangnya 130 kes kematian yang melibatkan pengguna VIAGRA. Walaupun kes tersebut masih disiasat, sepatutnya ia sudah cukup untuk memberi amaran. Angka ini meningkat daripada 6 orang maut selepas menggunakan VIAGRA menurut laporan dari Amerika Syarikat. Antara sebabnya termasuklah serangan jantung dan angin ahmar. Ada yang dikatakan mengalami keadaan tidak siuman dan masalah penglihatan. Oleh itu walaupun VIAGRA masih dianggap selamat, penggunaannya perlu diawasi.

Oleh sebab ED sering melibatkan orang yang berusia lanjut - berumur 65 tahun kemungkinan kesan sampingan berlaku, malah maut sekalipun adalah lebih tinggi. Kes-kes kematian yang dilaporkan kebanyakkannya melibatkan golongan yang telah berumur.

JADUAL 1 : KESAN SAMPINGAN YANG LAIN

Pening kepala ; Seorang daripada sepuluh sewaktu ujia klinikal mendapat pening kepala yang menjadi lebih teruk apabila ubat yang diambil bertambah.

Pitam ; Oleh sebab tekanan darah menjadi lebih rendah dengan cara mendadak, kemungkinan pitam boleh berlaku. Bagi pengguna ubat darah tinggi tertentu, risikonya menjadi lebih tinggi.

Penglihatan kabur melibatkan warna kebiruan ; Hal ini disebabkan tindakbalas kimia yang sama berlaku juga pada bahagian mata dan kadangkala melibatkan juga warna kehijauan.

Priapisme : Yakni ketegangan anggota kelamin berlanjutan berjam-jam. Kemungkinan ini boleh berlaku kerana pengguna mempunyai penyakit tertentu.

Lain-lain ; Kulit menjadi kemerahan, gangguan perut.

Tambahan pula apabila VIAGRA digunakan serentak dengan beberapa jenis ubat jantung, khususnya jenis nitroglisrin, isosorbid dan sodium nitroprosid. Bahan-bahan lain seperti amil nitrat yang sering disalahgunakan oleh penagih dadah juga boleh mengakibatkan maut. Oleh yang demekian adalah paling penting bagi pesakit-pesakit yang menggunakan ubat-ubat jantung yang tersebut di atas mendapat pengesahan pengubatan terlebih dahulusebelum menggunakan VIAGRA. Setakat ini bahan-bahan nitrat yang terdapat semulajadi di dalam makanan dilaporkan tidak mendatangkan apa-apa bahaya. Memandangkan hal ini, satu kumpulan pakar telah mengesyorkan supaya pemeriksaan yang lengkap seharusnya dijalankan sebelum penggunaan VIAGRA.

Ini adalah antara kesan tidak diingini yang kini dikhuatiri berlaku. Waluapun begitu semestinya banyak lagi kesan lain yang akan dapat diperhatikan apabila ubat ini digunakan secara meluas. Apalagi jika ianya disalahgunakan. Ini sudah menjadi lumrah dalam bidang ubat-ubatan sehingga ada pula yang terpaksa ditarik balik daripada pasaran kerana kesan buruk yang membahayakan.

Adalah dikhuatiri juga seseorang itu akan bergantung kepada VIAGRA secara psikologi, iaitu ia memerlukan ubat ini pada setiap kali hendak mengadakan hubungan kelamin, walaupun sebelum itu VIAGRA tidak diperlukan sama sekali. Kebimbangan ini telah disuarakan oleh pakar-pakar psikologi sebagai satu kemungkinan apabila VIAGRA disalahgunakan.

KESIMPULAN

Memandangkan kepada semua kemungkinan yang telah dinyatakan di atas, satu pertimbangan yang amat serius mesti diberikan sebelum VIAGRA digunakan khususnya kepada mereka yang tidak memerlukannya. Kehadiran VIAGRA dalam negara ini mestilah diiringi dengan kesedaran secukupnya supaya ubat ini dapat dimanfaatkan sebaik mungkin. Segala salah guna dan prasangka yang kini wujud mesti diperbetulkan demi mengelakkan kesan buruk dan gejala sosial yang tidak sihat. Dalam keadaan ekonomi yang tidak menentu penggunaan VIAGRA boleh merupakan satu pembaziran jika tidak dibendung. Pusat Racun Negara baru-baru ini telah melancarkan satu laman web (http://prn.usm.my/viagra.html) sebagai salah satu usaha pendidikan awam ke arah meningkatkan kesedaran umum tentang VIAGRA.

Go to top of page

 


LAMAN UTAMA

MESEJ

TUGAS

BERITA

BIODATA

GAMBAR


PFHK/PS 2001